Sunday, November 22, 2009

From saifulislam.com-KEM HIJRI 1431 DATANG LAGI – Pendaftaran Dibuka



KEM HIJRI 1431 DATANG LAGI – Pendaftaran Dibuka
Abu Saif 17/11/2009 9:00 pm 1,618 views Print Email

Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) merupakan sebuah kem percutian yang diadakan khusus untuk musim cuti sekolah dan pasca peperiksaan, bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah 1431. Program ini dibentuk khusus untuk mengisi keperluan remaja semasa yang berdepan dengan pelbagai cabaran, sebahagiannya sulit untuk difahami oleh generasi ibu bapa. Kecelaruan membabitkan persoalan pandangan hidup (worldview), agama, nilai, emosi, cinta, akademik dan kerjaya masa depan. Kepercayaan bahawa remaja perlu difahami sebelum mengharapkan mereka memahami, menjadi asas kepada lahirnya KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (HIJRI)

“Kamu adalah apa yang kamu percaya” merupakan kaedah yang menjelaskan tentang peri pentingnya PARADIGMA atau cara melihat sesuatu. Inilah fungsi penting Aqidah iaitu mengubah cara manusia memandang; melihat kehidupan dari perspektif Pencipta kehidupan. Justeru Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) kali ini menekankan kepada usaha untuk melakukan anjakan paradigma yang holistik membabitkan topik-topik berikut:

1. PUZZLE AGAMA
Huraian Hadith Jibril a.s. tentang Iman, Islam dan Ihsan dalam konteks Input, Proses dan Output. Merawat kesilapan 7 buta meraba gajah agar al-Deen tidak difahami secara serpihan. Cabaran keluarga dan pembangunan ekstrim juga terbit dari hadith yang sama.

2. IMAN ITU INPUT
Kenal diri kenallah Ilahi… segmen yang membawa peserta meneroka potensi dan batasan diri untuk sampai kepada soalan “mengapa hidup perlu berTuhan”. Peserta mencari sebab beribadah sebelum mendalami kaifiyat ibadah. Kuasa percaya sebagai kunci untuk berjaya adalah sari pati segmen ini.

3. IBADAH ITU PROSES
Ibadah ialah mekanisma yang memproses Iman dengan cara-cara yang diajar petunjuk Nabawi, supaya terbit kualiti Ihsan. Adalah salah menganggap bahawa seseorang itu baik kerana bersolat, sebaliknya bersolatlah untuk menjadi baik. Solat itu proses, baik itu adalah hasil.

4. IHSAN ITU OUTPUT
Ihsan itu cemerlang. Motonya adalah “Buat Habis Baik”. Iman yang diproses Ibadah, menghasilkan baik kepada Tuhan, baik kepada insan dan alam kehidupan, baik kepada pelajaran dan pekerjaan. Kemuncak agama adalah Akhlaq. “Aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlaq,” mesej Nabawi yang menjadi kata kunci.

5. SINERGI KELUARGA DAN TAULAN
Manusia makhluq sinergi. Berdikari bukan pada hidup sendiri. Ibu bapa paling utama, pergaulan teman harus ada panduan. Pengurusan emosi satu kemestian, cinta dan cita-cita perlukan penyelarasan.

6. CITA-CITA DAN KERJAYA
Misi dan visi Khalifah Allah, hidup berperanan menyumbang faedah. Setiap manusia dilahirkan bukan bodoh vs pandai, tetapi berbeza-beza keistimewaan. Peserta diajak mencari minat dan bakat, disuntik disiplin, perkongsian pengalaman dan nasihat. Forum kerjaya oleh tokoh berjaya, agar jalan ke depan cerah kelihatan.

Proses pembelajaran dilakukan secara interaktif dengan bantuan alat audio dan visual, sinergi kerja dalam kumpulan, aktiviti indoor dan outdoor, segmen bicara hati ke hati, serta fasilitator yang setia berada sepanjang masa untuk akses yang optimum.
Hubungan dan akses yang optimum di antara peserta dengan pasukan fasilitator menjadi keutamaan kami.

Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) dianjurkan oleh Saifulislam Training & Consultancy (001813528-P) , iaitu sebuah syarikat latihan dan perundingan pembangunan insan milik Hj Hasrizal Abdul Jamil, atau lebih dikenali sebagai Abu Saif. Bermula dari sebuah blog interaktif yang menampilkan bahan-bahan pemikiran yang segar, Abu Saif melangkah setapak ke hadapan dengan menubuhkan syarikatnya sendiri agar segala idea yang telah banyak dimanfaatkan oleh pembaca semenjak 1998, dapat diterjemahkan kepada modul latihan yang meletakkan remaja, mahasiswa/i dan warga kerja sebagai kelompok sasaran. Graduan Universiti Mu’tah di Jordan, Mantan Minister of Religion di Ireland Utara, pernah muncul di CNN, BBC dan media tempatan, Abu Saif pasti menawarkan keunikan untuk dakwah dan program latihan pembangunan insan.
Kami menerima banyak permintaan daripada ibu bapa, agar menganjurkan kursus-kursus untuk anak remaja, khususnya di musim cuti sekolah ini. Setelah banyak aspek dipertimbangkan, berserta usaha mendapatkan sebuah pasukan yang benar-benar mantap untuk memimpin agenda ini, kami mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana KEM HIJRI 1430 yang berlangsung pada Disember 2008 telah berjalan dengan cemerlang dan kini mengumumkan sesi kedua KEM HIJRI khusus untuk remaja di musim cuti sekolah 2009 kali ini.

KEM HIJRI
Kem Hijrah Remaja Islam 1431H ini, adalah sebuah program bersifat residential, yang kami tawarkan khusus untuk anak-anak remaja berusia di antara 13 ke 19 tahun. Program ini menggabungkan segala unsur pembelajaran membabitkan kuliah, latihan dalam kumpulan, permainan interaktif, aktiviti outdoor, serta slot-slot bicara hati ke hati, bukan sekadar untuk menyampaikan mesej kepada peserta, malah untuk kami menyelami isi hati, berusaha memahami dan seterusnya berkongsi pandangan secara yang lebih eksklusif kepada peserta KEM HIJRI ini.

Idea Tasawwur Islam yang segar, dinamik, kontemporari dan praktikal, akan disampaikan kepada remaja dengan bahasa remaja, bersama harapan agar proses untuk menjiwai dan mengamalkan hasil KEM HIJRI ini akan lebih mudah dan sesuai dengan panca roba kehidupan mereka yang serba mencabar hari ini.

Kami juga menawarkan ruang untuk peserta-peserta berdialog dengan fasilitator jemputan yang berlatarkan pelbagai bidang pengajian yang syariatik juga saintifik untuk sumbangsaran perancangan pelajaran dan kerjaya mereka nanti. Terima kasih kepada teman-teman saya yang begitu ikhlas dan bersemangat untuk berkongsi pengalaman mereka belajar di universiti terkemuka, dan kini berjaya sebagai profesional di bidang masing-masing.
KEM HIJRI INI akan mencakupi 6 Topik Dasar iaitu:

Meneroka rupa bentuk Islam (IPO Input Proses dan Output pada Iman, Islam dan Ihsan)
Muslim pada Aqidah, Ibadah dan Akhlaq, yang banyak menekankan aspek MENGAPA disusuli BAGAIMANA

Meneroka aplikasi konsep Syariatullah dan Sunnatullah untuk kecemerlangan holistik peserta
Pengurusan Emosi dan Cinta Remaja
Memulihkan Nilai Kekeluargaan dan Interaksi Sosial
Merancang Pembelajaran dan Kerjaya

SAIFULISLAM TRAINING AND CONSULTANCY
KEM HIJRI ini dianjurkan oleh Saifulislam Training & Consultancy, syarikat persendirian milik saya, berteraskan gagasan idea yang sejak sekian lama menjadi teras kepada wacana di Saifulislam.Com. Penubuhan syarikat ini adalah untuk memenuhi kriteria Sunnatullah yang menghendaki usaha dakwah dan penyebaran al-Haq dilakukan secara bersistem dan tersusun.
Program bakal diadakan Insya Allah di Nur Lembah Pangsun Training Camp & Eco Resort, Hulu Langat. Lokasi terkenal ini menawarkan persekitaran yang segar, selamat, bersama fasiliti perkhemahan yang sempurna. Layari halaman web Nur Lembah Pangsun untuk keterangan lanjut mengenai lokasi pilihan kami ini.

Kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka berkampung dan berwacana bersama saya dan barisan fasilitator kami, jangan berlengah untuk mendaftarkan anak anda dengan menggunakan borang online, atau dengan menghubungi nombor perhubungan yang tertera di di bawah.

Kami memberikan sepenuh komitmen kepada program ini. 3 hari 2 malam adalah umur anak remaja anda yang menjadi amanah kepada kami untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman, demi menyambut kedatangan tahun 1431H sebagai detik perubahan dengan penuh makna dan semangat untuk berjuang juga cemerlang.

Ketemu kami di Nur Lembah Pangsun!
Haji Hasrizal Abdul JamilSaifulislam Training & Consultancy
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KE http://saifulislam.com/?p=7098#more-7098
p/s: anak saya kecik lagi..kalau tak mau jugak hantar kem ustaz ni...

No comments:

CARA MUDAH INGAT - MNEMONIK UJIAN MAKANAN (SAINS TINGKATAN 2 - BAB 3)

CARA MUDAH INGAT - MNEMONIK UJIAN MAKANAN (SAINS TINGKATAN 2 - BAB 3) Klik sini untuk video. Kredit kepada  Cikgu Rosmaini Abdullah